Mengapa saya sokong BA boikot pilihanraya kecil di DUN Batu Talam?
Jari pegundi disemak dan dan dihitamkan sebelum dibenarkan mengundi. Pilihanraya Umum Afghanistan 2005.
Umum sudah mengetahui bahawa proses pilihanraya di Malaysia sering dipertikaikan dari segi kebebasannya dan ketelusannya. Banyak sebab yang telah menjadikan proses pilihanraya di Malaysia dipertikaikan dan dikritik baik oleh masyarakat di peringkat nasional mahupun di peringkat antarabangsa.
Keadaan menjadi tambah gawat apabila baru-baru pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman mengatakan bahawa peraturan pilihanraya di Malaysia perlu dikaji semula kerana ia sudah terlalu lama dan sudah tidak sesuai dengan negara yang sudah menggunakan undang-undang itu selama 50 tahun. Abdul Rashid juga menyatakan bahawa SPR perlu diberi lebih kuasa agar dapat menjalankan pilihanraya secara bebas, telus dan adil.
Kenyataan Abdul Rashid itu dilihat sebagai mengesahkan yang selama ini pilihanraya di Malaysia tidak dijalankan secara bebas, telus dan adil. Walau apapun niat yang tersembunyi dari pihak Abdul Rashid, sekarang masyarakat umum telah jelas bahawa selagi undang-undang pilihanraya tidak direformasikan, selagi SPR tidak bebas dari cengkaman pemerintah, pilihanraya di Malaysia tidak akan berjalan dengan bebas, telus dan adil.
Selain dari faktor SPR, kita juga jangan lupa tentang faktor-faktor lain yang penting dalam sesuatu proses pilihanraya seperti faktor media. Di Malaysia semua media arus perdana dikuasai oleh parti pemerintah. Jadi jika di musim pilihanaraya, media-media arus perdana akan memainkan peranan sebagai “jentera kempen parti pemerintah”. Liputan yang diberikan terhadap calon-calon daripada parti pembangkang terlalu sedikit dan media-media arus perdana memainkan peranan untuk “membelasah” calon-calon daripada parti pembangkang. Baik media cetak mahupun media elektronik. Malahan parti politik seperti PKR masih lagi tidak mendapat lesen untuk menerbitkan akhbar mereka sendiri. Akhbar HARAKAH milik parti PAS pula telah dihadkan pengelurannya dari seminggu sekali kepada sebulan dua kali. Jadi apakah padang permainan sama rata?
Itu belum kira lagi undang-undang yang zalim dan anti demokrasi seperti ISA, OSA, AUKU, Akta Mesin cetak dan banyak lagi yang tidak akan memungkinkan partisipasi masyarakat, baik masyarakat umum atau mahasiswa untuk terlibat secara demokratik. Dari segi sejarah pada sekitar tahun 1960an kita dapat menyaksikan calon-calon daripada Barisan Sosialis telah ditangkap beramai-ramai di bawah ISA yang menyaksikan pemboikotan pilihanraya pada ketika itu. Dan selagi adanya undang-undang yang anti demokrasi seperti ISA, tidak mustahil ia akan digunakan lagi jika pakatan pembangkang menjadi lebih kuat.
Tuntutan agar SPR menggunakan dakwat hitam untuk dicelupkan ke jari pegundi-pegundi yang telah mengundi untuk mengelakkan pengundian berulang juga tidak pernah dilayan wlaupaun telah didesak oleh parti pembangkang berulang kali. Banyak negara-nagara yang mengamalkan amalan mencelup jari ke dakwat hitam untuk mengelak pengundian berulang seperti India, Indonesia, Thailand, Afghanistan, Sri Lanka dan banyak lagi. Amalan ini telah diterima sebagai salah satu komponen yang penting untuk bagi memastikan pegundian berulang dan masalah pengundi hantu tidak timbul.
Politik wang atau pembelian undi adalah salah satu faktor yang telah lama mencemar imej pilihanraya di Malaysia. Baru-baru ini, Tun Dr. Mahathir (ketika beliau Perdana Menteri, amalan politik wang dan pembelian undi didakwa berleluasa) juga ada menyatakan dalam satu kenyataanya bahawa jika terdapat amalam politik wang dalam pilihanraya kecil di Batu Talam, rakyat harus berani membuat laporan. Bayangkanlah jika seorang bekas Perdana Menteri yang telah berkuasa selama 22 tahun juga curiga dengan amalan pilihanraya dinegaranya, apatah lagi parti pembangkang yang sering menjadi mangsa penipuan pilihanraya?
Dan satu lagi yang masih tidak ada di Malaysia ialah kebenaran untuk badan antarabangsa yang bebas untuk memantau perjalanan proses pilihanraya. Telah menjadi praktik negara-negara yang demokratik untuk membenarkan pemantau asing untuk memantau pilihanraya di negara mereka. Contohnya di Indonesia, KPU (Komittee Pemilihan Umum) badan bebas yang melaksanakan pilihanraya memberikan akreditasi kepada pemantau asing untuk memantau pilihanraya di Indonesia. Tetapi ini tidak berlaku di Malaysia. Biasanya pemantau asing tidak akan dilayan dan tidak akan diberikan akreditasi seperti apa yang berlaku pada pilihanraya umum pada tahun 1999 dan 2004. Mengapa SPR dan kerajaan Malaysia takut untuk membenarkan kehadiran pemantau asing jika pilihanraya di jalankan dengan bebas, jujur dan adil?
Jadi saya fikir wajarlah BA memboikot pilihanraya kecil di DUN Batu Talam kerana kalau mereka pun bertanding, tiada gunanya selagi faktor-faktor seperti yang saya nyatakan diatas masih lagi tidak diubah. Jadi saya ucapkan tahniah kepada BA kerana berani mengambil tindakan ini dan sedar yang mereka tidak seharusnya selalu diperbodohkan oleh SPR dan pemerintah Barisan Nasional. Kita mahukan pilihanraya yang benar-benar bebas, telus dan adil. Bukan pilihanraya ala kadar yang hanya untuk menunjukkan kepada masyarakat dunia bahawa Malaysia sebuah negara demokrasi. Rakyat Malaysia juga tidak perlu risau kerana pilihanraya bukanlah satu-satunya elemen dalam negara demokrasi. Kita juga masih ada pilihan-pilihan yang lain seperti “Pilihanjalanraya”. Pilihanjalanraya telah terbukti untuk mengembalikan kedaulatan rakyat dan pilihanraya yang lebih baik seperti yang pernah berlaku di Iran, Indonesia, Korea Selatan, Filipina dan banyak lagi negara didunia ini. END.
5 comments:
mungkin kalau ada yg baca komen aku nie mesti akan ada yang kata ala mamat ni poyo je..
sumpah aku ckp black..aku pegang kata-kata hisham..dari pilihanraya aku pilih pilihan jalanraya..
selagi mana spr pekakkan telinga selagi tu la election kita takkan adil...
malcolm ..... tak poyo tapi dia ciwi jerk...
Biarlah apa pun orang kata Malcom, jangan peduli... Orang nak kata poyo ke, apa ke... Apa nak pikir.... Amacam demo hari ini?
che-wah! tulisan ni style!
Langkasuka, bila nak mulakan projek media saudari? Saya berminat untuk tolong... Maklumlah, Black tak lama lagi akan di Malaysia....
By the way.. Thanks....
Post a Comment